Jurulatih berasal dari Korea Selatan semakin mendapat tempat dalam arena bola sepak Asia Tenggara. Malaysia juga turut terkena tempiasnya apabila melantik Kim Pan-gon untuk menjadi jurulatih skuad bola sepak senior negara.
Selepas Malaysia, Vietnam dan Indonesia, kini Thailand dijangka akan melakukan perkara yang sama untuk menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan.
Kredibiliti jurulatih Thailand, Mano Polking mula dipersoalkan sejak dua menjak ini apabila gagal memperbaiki kedudukan Thailand dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Perkara ini membuatkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mahu mencari pengganti yang sesuai untuk membimbing pasukan Thailand.
Menurut laporan daripada Postsen, nama yang disebut-sebut untuk menjadi pengendali baharu Thailand adalah bekas jurulatih bola sepak wanita Korea Selatan, Yoon Deok-yeo. Jurulatih ini ternyata mempunyai pengalaman luas dalam arena bola sepak.
Antara pencapaian beliau adalah pernah membawa skuad bola sepak wanita Korea Selatan dua kali ke Piala Dunia Wanita iaitu pada tahun 2015 dan 2019.
Selain itu, beliau juga pernah mengendalikan beberapa kelab ternama Korea Selatan yang beraksi di K-League seperti Pohang Steelers, Ulsan Hyundai, Gyeongnam FC dan juga Chunnam Dragons. Beliau juga pernah menjadi pembantu jurulatih untuk skuad bawah 17 tahun dan skuad senior Korea Selatan.
Trend membawa masuk jurulatih Korea Selatan semakin menampakkan hasil apabila Vietnam yang dibimbing Park Hang-seo kini merupakan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berada di kedudukan atas 100 dalam ranking FIFA.
Indonesia juga tidak kurang hebatnya apabila jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong kini menampilkan kelainan buat skuad garuda itu dengan dibarisi pemain-pemain muda berbakat besar. Beliau juga berjaya membawa skuad Indonesia ke Piala Asia 2023.
Bagi Malaysia, kehadiran Kim Pan-gon pada awalnya menjadi tanda tanya berdasarkan rekod yang kurang baik bersama pasukan terdahulu namun Pan-gon berjaya menyuntik kelainan dalam skuad Harimau Malaya dengan permainan yang pantas. Kehadiran beliau juga dianggap berbaloi selepas membawa skuad negara mara ke Piala Asia 2023.