Kemaraan Perak FC ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023 nyata membuka mata banyak pihak mengenai kemampuan skuad kendalian Yusri Che Lah ini.
Biarpun melalui perlawanan yang getir sejak pusingan 16 terakhir, Perak berjaya mengatasi tekanan tersebut. Perak telah menyingkirkan pasukan gergasi utara tanah air, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan juga wakil Malaysia di Piala AFC, Sabah FC.
Dalam satu program bual bicara di Perak FC TV, CEO Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin memuji tindakan Yusri Che Lah yang dapat membina dua karakter pemain bagi mematahkan pergerakan dua pemain Sabah iaitu Saddil Ramdani dan Daniel Ting.
“Kalau kita tengok di bahagian kiri dan kanan, kita ada Aiman Yusni dan kita ada Afif (Asyraf) berumur 32 tahun yang nak berhenti main bola tahun lepas. Saya jadi jammed sekejap bila dua watak ni jadi begitu dominan apabila beraksi di Ipoh.
“Saddil Ramdani hilang arah dengan Afif. Daniel Ting dengan Aiman Yusni pun hilang arah. Ucapan tahniah saya berikan kepada Yusri kerana boleh membina dua watak ini dalam waktu yang sangat singkat,” jelas Bobie seperti dikongsikan di Perak FC TV.
Di peringkat separuh akhir Piala Malaysia, Perak berdepan misi yang sangat sukar apabila bakal berdepan dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Aksi pertama separuh akhir bakal diadakan pada 19 Oktober di Stadium Negeri Ipoh dan disusuli aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 November depan.