Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengatur persediaan lebih rapi menjelang aksi Liga Super menentang Terengganu FC pada 26 Oktober ini.
Persediaan ini diatur bagi memastikan Perak tidak mengalami nasib sama semasa menentang Sabah FC pada 19 Oktober lalu.
Aksi tersebut menyaksikan The Bos Gaurus dilihat dapat mencuri mata daripada Sang Badak pada kedudukan 2-2. Walau bagaimanapun, gol lewat Joao Pedro dan Miguel Cifuentes memastikan Sabah meraih kemenangan 4-2.
Dengan Terengganu menjadi lawan mereka yang seterusnya, Yusri mahu memastikan pasukannya lebih bersedia untuk meraih kemenangan pertama di Stadium Manjung.
Ini kerana meskipun Terengganu dibelenggu kemarau kemenangan, pasukan itu tetap lawan yang sukar lebih-lebih lagi dibarisi ramai pemain berkualiti.
“Jadi, untuk kunjungan Terengganu kali ini, saya rasa nampak sukar daripada sebelumnya. Mungkin sebab mereka lebih stabil dan sebagainya.
“Tetapi kali ini, lebih sukar kerana kesukaran mereka itu menyukarkan kita kerana mereka sukar dijangkakan dan apa yang diperagakan esok.
“Jadi, sudah pasti kedua-dua pasukan inginkan kemenangan lebih-lebih lagi kepada pasukan kami selaku tuan rumah. Kami tak boleh tercicir mata lagi. Dan ini juga peluang untuk menebus pada awal permainan musim ini dan mengharapkan sokongan padu daripada peminat,” katanya kepada Nadi Bola.
Perak bakal turun tanpa khidmat Tommy Mawat Bada yang perlu menjalani penggantungan perlawanan. Sementara tahap kecergasan Wan Zack Haikal pula terus dipantau menjelang aksi ke-12 The Bos Gaurus.
Aksi ini dilihat peluang buat Perak membalas dendam kepada Terengganu. Ini kerana pasukan itu bukan saja tewas dalam aksi awal liga tetapi juga dalam saingan Piala FA 2024.