Penyerang berbisa Kedah Darul Aman, Syafiq Ahmad dikesan memperagakan aksi berbeza berbanding ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkara ini dijelaskan oleh lagenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan selepas melihat pemain berusia 28 tahun ini menyinar bersama Sang Kenari.
Ledakan kencang bekas pemain kebangsaan ketika menentang Kelantan DN telah membuka mata peminat terhadap keupayaan sebenarnya di atas padang.
Menurut Zainal, Syafiq Ahmad telah banyak melakukan perubahan dalam permainannya sekaligus membentuk persefahaman lebih baik bersama rakan sepasukan.
“Bagi saya, Syafiq Ahmad telah banyak melakukan perubahan sama ada untuk dirinya dan juga pasukan. Beliau juga kerap menjaringkan gol.
“Malah, jaringannya juga menjadi antara gol tercantik pada musim ini. Bagi saya, Syafiq Ahmad dari awal sampai sekarang boleh dikatakan menyerlah,” katanya kepada Astro Arena.
Rekod Syafiq pada musim ini amat memberangsangkan apabila merekodkan dua jaringan dengan 13 percubaan dilakukan.
Beliau turut merakamkan satu bantuan gol selain memenangi 38 perebutan bola dengan 11 perebutan bola di udara turut dimenanginya.