Penjaga gol Imigresen FC, Zarif Irfan Hashimuddin mendedahkan beliau mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan bekas penjaga gol Sri Pahang FC itu menerusi satu hantaran di Instagram. Kecederaan itu dialami dalam aksi Imigresen menentang Penang FC pada April lalu.
Zarif Irfan tidak dapat meneruskan permainan pada separuh masa kedua akibat kecederaan itu. Situasi ini mendorong jurulatih Imigresen, Yusri Che Lah memasukkan Farhan Abdul Majid sebagai pengganti.
Penjaga gol berusia 31 tahun itu mengakui kecederaan tersebut antara kecederaan yang cukup ditakuti ramai pemain bola sepak.
Pada masa sama, Zarif menghargai sokongan keluarga dan rakan-rakan untuk membantu proses pemulihan kecederaan ACL.
“11 April adalah hari terakhir saya beraksi bersama pasukan selepas saya mengalami kecederaan yang paling ditakuti oleh pemain bola sepak iaitu ACL.
“Terima kasih keluarga dan semua yang mendoakan. Sekarang, kita bangkit,” katanya.
Selepas hantaran itu disiarkan, ramai rakan pemain mendoakan Zarif Irfan cepat sembuh daripada kecederaan itu.
Antaranya Eduardo Sosa, Sean Selvaraj, Nik Sharif Shareefy Mohd Lazim, Azrif Nasrulhaq, Khairulazhan Khalid dan Jafri Firdaus Chew.
Malah, Pengarah Teknikal Selangor FC, Christophe Gamel turut mendoakan Zarif Irfan pulih daripada kecederaan serius itu.