Peminat bola sepak Asia Tenggara teruja apabila dua kelab gergasi Thailand, Buriram United dan BG Pathum United tersenarai sebagai 12 kelab yang menyertai Shopee Cup.
ASEAN Football melaporkan nama dua kelab itu dipilih sebagai wakil Thailand untuk Shopee Cup atau nama rasminya, ASEAN Club Championship.
Kedua-dua kelab ini dipilih atas sebab Buriram merupakan juara Thai League 1 dan Thai League Cup musim 2022/23.
Disebabkan Buriram merupakan juara Thai League Cup, BG Pathum terpilih atas status sebagai naib juara kejohanan pada musim tersebut.
Kehadiran dua pasukan ini melengkapkan senarai 10 pasukan yang akan bersaing di peringkat kumpulan Shopee Cup.
Cabaran Malaysia bakal digalas naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC dan naib juara Piala FA 2023, KL City FC. Manakala PSM Makassar dan Borneo FC pula mengetuai cabaran Indonesia.
Vietnam pula menghantar juara V. League 1 musim 2023, Cong An Ha Noi (CAHN) dan juara Vietnamese Cup 2023, Thanh Hoa.
Sementara Singapura dan Filipina masing-masing menghantar Lion City Sailors dan Kaya FC – Iloilo sebagai wakil dalam Shopee Cup.
10 pasukan ini akan disertai dua pasukan yang akan ditentukan melalui perlawanan play-off. Empat pasukan yang merebut slot ini ialah Kasuka (Brunei Darussalam), Shan United (Myanmar), Master 7 (Laos) dan Preah Khan Reach Svay Rieng FC (Kemboja).
Cabutan undi kumpulan bakal diadakan di Ho Chi Minh City, Vietnam pada jam 12.00 tengah hari waktu Malaysia esok. Peminat bola sepak boleh melihat siaran undian secara langsung menerusi saluran YouTube Asean United FC.