Advertisement
3 Kelab Thailand Lengkapkan Senarai 16 Pasukan Ke Pusingan Kalah Mati ACL2
ACL
MakanBola
Muangthong United FC

Aksi peringkat kumpulan AFC Champions League 2 (ACL2) telah pun melabuhkan tirai dan kini 16 pasukan termasuklah 3 kelab dari Thailand akan memulakan langkah ke pusingan kalah mati.

Sebelum ini, 11 pasukan telah pun mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya lebih awal sejurus tamat perlawanan ke-5 peringkat kumpulan yang berlangsung minggu lalu.

3 daripada 11 pasukan tersebut adalah kelab dari rantau Asia Tenggara iaitu Port dan Bangkok United dari Thailand begitu juga dengan satu-satunya wakil dari Vietnam, Nam Dinh.

Al Wakrah, Tractor, Al Wehdat, Shabab Al Ahli, Al Hussein, Sydney FC, Jeonbuk Hyundai dan juga Sanfrecce Hiroshima melengkapkan 11 pasukan yang mara lebih awal ke pusingan seterusnya.

Ini sekaligus menyaksikan 5 lagi tempat menjadi rebutan 10 lagi pasukan dengan tumpuan pastinya kepada persaingan antara Selangor dan Muangthong United di kumpulan H.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, kemenangan tipis 1-0 Muangthong United ke atas kelab Korea, Jeonbuk Hyundai memastikan The Kirins menjadi wakil ke-2 dari Thailand yang mara.

Walaupun, Selangor turut meraih 3 mata setelah mengatasi DH Cebu di Manila, namun itu tidak cukup untuk memintas Muangthong yang berkelebihan satu mata di atas Gergasi Merah.

Empat lagi slot menjadi milik Lion City Sailors, Al-Sharjah, Al-Taawoun dan Al Khalidiyah melengkapkan 16 pasukan yang mara ke pusingan kalah mati ACL2 di hari terakhir peringkat kumpulan.

Sesi undian bagi menentukan lawan di antara 16 pasukan ini bakal berlangsung pada 12 Disember hadapan dengan aksi pertama dan kedua dijadualkan pada pertengahan Februari 2025.