Saingan Piala Asia 2023 menyaksikan Kim Pan-gon telah memilih barisan 26 pemain Malaysia untuk menggalas cabaran di kejohanan itu.
Beberapa nama yang dipilih beliau mengejutkan penyokong Harimau Malaya seperti Natxo Insa, Mohamadou Sumareh dan Sikh Izhan Nazrel.
Bagaimanapun, Pan-gon mendedahkan pemilihan pemain dibuat dengan mengambil kira penyusunan organisasi di bahagian pertahanan, perubahan bila menyerang dan bertahan serta faktor fizikal.
Tiga aspek ini dilihat penting bagi jurulatih Korea Selatan itu. Ini kerana tiga lawan mereka dalam Kumpulan E iaitu Bahrain, Jordan dan Korea Selatan memiliki kelebihan dari segi teknikal dan fizikal.
Justeru, Pan-gon melihat tiga aspek ini kunci bukan saja dari segi pemilihan pemain. Malah, ini akan mempengaruhi pemilihan strategi yang dibuat beliau dalam perlawanan nanti.
“Kita menjangkakan pasukan lawan akan banyak menyerang kita. Jadi, kita memberi penekanan kepada susunan pada bahagian pertahanan dan perubahan (bila bertahan dan menyerang).
“Jadi, kita tak boleh juga bergantung kepada serangan balas, itu yang dikira penting. Berapa kali kita nak menyerang balas, itu kunci utama. Jadi, bila mereka beri peluang kepada kita menjaringkan gol, itu akan menyukarkan mereka.
“Saya fikir jika kita tidak dibolosi, kita perlu menyerang terutama serangan balas. Kita juga fokus kepada bahagian set-piece kerana kita tidak mahu dibolosi dengan gol set-piece.
“Kita perlu menjaringkan gol tetapi bahagian set-piece juga penting. Dari segi individu pula, kita melihat pemain yang memiliki fizikal yang kuat dan pantas.
“Saya fikir ada banyak bahagian yang perlukan kita buat persediaan. Barisan kejurulatihan telah menyediakan banyak maklumat kepada para pemain supaya kita boleh membuat persiapan yang bagus untuk kejohanan ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini.
Malaysia akan menempuh aksi pemanas badan menentang Syria pada 8 Januari ini sebelum membuka tirai kempen Kumpulan E pada awal pagi 16 Januari.
Aksi pertama Kumpulan E menemukan skuad negara dengan Jordan yang diadakan di Stadium Al Janoub, Al-Wakrah, Qatar.