Ini rekod pasukan yang pernah menjulang kejuaraan MFL Challenge Cup sejak kali pertama diadakan.
Saingan MFL Challenge Cup 2024-2025 sudah makin hampir ke penghujung dengan dua kelab dari Lembah Klang, PDRM dan Selangor akan bersaing bagi merebut gelaran juara edisi ini.
Di sebalik kehangatan perlawanan akhir pertama pada Sabtu, ini rekod pasukan-pasukan yang pernah menjulang kejuaraan Challenge Cup sejak julung kalinya diadakan pada edisi 2018 lalu.
Pada musim 2018 itu, Terengganu II berjaya melakar sejarah tersendiri dengan muncul selaku pasukan pertama menjuarai Challenge Cup ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Skuad Terengganu II yang dibimbing oleh Tengku Hazman Raja Hassan ketika itu menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di final dengan keputusan agregat 4-2.
Edisi seterusnya menyaksikan giliran pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) II merangkul kejuaraan Challenge Cup apabila sekali lagi meranapkan impian besar UKM di pentas final.
Pada aksi final, JDT II dan juga UKM bersaing sengit apabila kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 secara agregat sebelum Harimau Selatan muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti.
Aksi Challenge Cup terpaksa dibatalkan pada musim 2020 akibat pandemik Corona Virus yang dihadapi seluruh dunia yang mana tiada sebarang perlawanan bola sepak diadakan.
Challenge Cup kembali dipertandingkan pada musim 2023 dengan format berbeza apabila 8 kelab yang tersingkir dari saingan Piala Malaysia disatukan di dalam kejohanan ini.
Bermula edisi 2023, PDRM dinobatkan sebagai juara apabila berjaya menumpaskan Kuching City dalam perlawanan akhir tersebut dengan keputusan agregat 4-1
Pada edisi 2024-2025 ini PDRM selaku juara bertahan akan turun dengan impian untuk mempertahan kejuaraan namun Selangor bakal menjadi halangan terakhir.
Aksi final pertama Selangor vs PDRM akan berlangsung pada 15 Februari di Stadium MBPJ dengan sepak mula tepat jam 9 malam.