Isu kecederaan di benteng pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini semakin pulih.
Pasukan JDT kendalian Xisco Munoz menepati ramalan awal apabila menerajui takhta Liga Super dengan merekodkan 14 kemenangan bersih dalam kesemua perlawanan setakat ini.
Prestasi cemerlang skuad Harimau Selatan ini bagaimanapun diuji dengan masalah kecederaan pemain yang membabitkan beberapa tonggak pasukan hingga memaksa mereka berehat panjang.
Isu kecederaan yang melanda JDT tampaknya mula beransur pulih tatkala pasukan kini sedang melakukan persiapan untuk mengharungi cabaran dalam saingan liga domestik dan di pentas Asia.
Kepulangan Syahmi Safari yang beraksi hampir 89 minit pada Jumaat lalu ketika menentang Negeri Sembilan menunjukkan petanda positif buat perkembangan pemain berusia 28 tahun itu untuk kembali merebut tempat dalam pasukan JDT.
Selain itu, Feroz Baharudin yang terpaksa berehat hampir setahun akibat kecederaan mula diberikan peluang untuk kembali beraksi apabila diturunkan sebagai pemain gantian ketika bertemu Negeri Sembilan.
Satu lagi nama pertahanan yang sudah mula kembali dari kecederaan adalah Park Jun-heong yang telah pun turun menjalani latihan bersama pasukan utama JDT baru-baru ini.
Kehadiran 3 pertahanan JDT ini pastinya menjadi khabar positif buat kem Harimau Selatan menjelang perlawanan Liga Super bertemu Kuching City pada Rabu, 14 Januari di laman sendiri.