Advertising
5 Kelibat Bintang Tumpuan Hangatkan Aksi Buriram United vs JDT
MakanBola
BUFC/JST

Aksi AFC Champions League Elite (ACLE) antara Buriram United vs Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjadi pentas tumpuan buat 5 pemain bintang ini.

Kedua-dua jaguh Asia Tenggara ini akan bertemu dalam aksi pusingan 16 terbaik ACLE selepas Buriram dan JDT masing-masing menamatkan saingan liga dalam kelompok 8 pasukan teratas.

Ad

Walau bagaimanapun, Buriram yang kini menerajui carta Thai League 1 dikejutkan dengan keputusan tidak dijangka apabila terikat seri tanpa jaringan menentang kelab ke-9 liga, Uthai Thani.

Ad

Manakala JDT pula masih segar dengan kejayaan ditabalkan selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut minggu lalu selain kehadiran pemain import baharu, Samu Castillejo.

Di sebalik kehangatan pertemuan derbi ini, terdapat 5 orang pemain dijangka menjadi perhatian kedua-dua pasukan baik Buriram United mahupun JDT.

Ad

1- Samu Castillejo

Ad

Ketibaan Castillejo pada Khamis lalu termyata menghadirkan rasa teruja dalam kalangan penyokong JDT bagi melihat aksi bekas pemain AC Milan ini bersama skuad Harimau Selatan.

Ad

Walau bagaimanapun, Hector Bidoglio masih belum memberi jaminan bahawa Castillejo akan diturunkan dan bakal menilai dahulu sebelum memberikan debut buat bintang berusia 30 tahun ini.

2- Natxo Insa

Natxo ini menjadi nadi penting di bahagian tengah JDT bagi kempen ACLE musim ini apabila pemain kacukan Malaysia-Sepanyol ini beraksi dalam kesemua 8 perlawanan pusingan liga sebelum ini.

Sudah tentunya kelibat Natxo sekali lagi menjadi taruhan oleh Hector Bidoglio dalam mengawal tempo permainan JDT dan dijangka bergandingan bersama Juan Muniz serta Jonathan Viera.

3- Bergson Da Silva

Ketajaman penyudah Bergson bakal menjadi senjata ampuh buat JDT dalam usaha menembusi gawang Buriram sambil dibantu hantaran berkualiti dari Arif Aiman, Juan Muniz dan Oscar Arribas.

Berdasarkan statistik, Bergson sudah menjaringkan 33 gol musim ini bersama pasukan juara Liga Super itu dengan 2 jaringan sudah berjaya diledak dalam kempen ACLE 2024-2025.

4- Guilherme Bissoli

Jika diberi satu nama penyerang Buriram yang harus dirantai, sudah tentunya Guilherme Bissoli yang dilihat cukup berbisa di dalam kotak penalti dengan 4 jaringan dalam 8 aksi ACLE sebelum ini.

Jurulatih Buriram memiliki beberapa pilihan penyerang untuk diturunkan pada aksi kali ini, namun Bissoli pastinya menjadi taruhan utama apabila bermain hebat musim ini dengan 30 jaringan.

5- Dion Cools

Kapten Harimau Malaya ini bakal menjadi duri dalam daging buat skuad JDT oleh kerana Cools sudah mengenali hampir kesemua pemain Malaysia yang bermain untuk Harimau Selatan.

Secara statistik, Cools beraksi dalam kesemua 8 perlawanan pusingan ACLE sebelum ini selain membuat dua bantuan gol dan dijangka akan ditugaskan bagi merantai gerakan pemain JDT.

Aksi Buriram United vs JDT akan berlangsung pada Selasa, 4 Mac di Buriram Stadium dengan sepak mula akan bermula tepat jam 10 malam waktu Malaysia.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments