Ini adalah sorotan 5 kejayaan manis yang dicapai oleh pemain-pemain badminton Malaysia sepanjang tahun 2024.
Tahun 2024 bakal menutup tirainya dengan pelbagai memori suka dan duka yang dikongsikan bukan sahaja oleh pemain-pemain malah juga peminat yang bakal menjadi momen yang diingati.
Ini antara 5 kejayaan manis yang berjaya dilakar oleh pemain badminton Malaysia sepanjang 2024 berlangsung.
1- Lee Zii Jia Memenangi Pingat Gangsa di Sukan Olimpik
Kejayaan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meraih pingat gangsa di Olimpik Paris menjadi antara memori manis apabila anak jati Kedah itu bangkit menewaskan Lakshya Sen dalam aksi penuh debaran.
Dengan kejayaan ini, Zii Jia mengikuti jejak langkah dua lagi lagenda negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei yang sebelum ini turut membutirkan pingat dalam acara perseorangan lelaki.
2- Aaron Chia-Soh Wooi Yik Pertahan Pingat Gangsa Sukan Olimpik
Selain Zii Jia, kejayaan beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik meraih pingat gangsa di Olimpik Paris turut menjadi momen terbaik 2024 apabila berjaya mempertahankan pingat yang dimenangi di edisi Tokyo 2020.
Kejayaan ini meletakkan Aaron-Wooi Yik kini sebaris atlet elit seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Azizulhasni Awang dan Dato Pandalela Rinong yang memiliki lebih dari satu pingat di Olimpik.
3- Pearly Tan-M. Thinaah Cipta Sejarah Ke Separuh Akhir Sukan Olimpik
Satu lagi coretan sejarah dilakar di bumi Paris apabila Pearly-Thinaah berhasil melepasi setiap halangan untuk muncul beregu wanita pertama negara yang mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.
Walaupun tewas di aksi separuh akhir dan penentuan pingat gangsa, Pearly-Thinaah berjaya membuktikan kemampuan untuk mencipta sejarah dan menjadi momen yang diingati bagi tahun 2024.
4- Nur Izzuddin-Goh Sze Fei Tamatkan Kemarau 35 Tahun Di China Open
Nama pasangan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei mula meraih tumpuan peminat badminton apabila bangkit merangkul 3 gelaran juara pada tahun 2024 ini antaranya di China Open.
Kejayaan Izzuddin-Sze Fei ini mengakhiri penantian 35 tahun untuk melihat beregu lelaki negara muncul juara China Open dengan kali terakhir dimenangi oleh Jalani Sidek-Razif Sidek pada tahun 1989.
5- Aaron Tai-Kang Khai Xing Muncul Juara Kejohanan Remaja Dunia
Selain kejayaan pemain senior, tidak dilupakan pemain muda negara yang turut mempamerkan aksi hebat seperti Aaron Tai-Kang Khai Xing yang muncul juara Kejohanan Remaja Dunia 2024.
Beregu yang berusia 18 tahun ini berjaya menewaskan jaguh China di aksi final untuk membawa pulang gelaran juara dan terkini Aaron-Khai Xing sudah berjaya menembusi ranking ke-58 dunia.
Kesimpulan
Banyak lagi kejayaan manis yang dilakar oleh para pemain badminton Malaysia sepanjang tahun 2024 ini dan semoga momen indah dapat diteruskan di tahun 2025 yang bakal tiba tidak lama lagi.