“5 Pemain Kuching City Perlu Diawasi” – Kim Pan-gon
MakanBola
KCFC/SFC

Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon melihat ancaman besar bakal diberikan oleh 5 pemain utama Kuching City menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia pada Ahad.

Pertembungan Selangor vs Kuching City sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila kedua-dua pasukan kini bakal turun dengan misi bagi merebut tiket ke final Piala Malaysia musim ini.

Kali terakhir kedua-dua kelab bertemu ketika aksi Liga Super yang menyaksikan Selangor meraih kemenangan dalam satu perlawanan yang cukup epik dengan rentetan serangan dan drama.

Oleh itu, Kim Pan-gon melihat beberapa pemain Kuching City perlu diberikan perhatian penuh oleh barisan pemain Gergasi Merah terutamanya tonggak di bahagian serangan The Cats.

Nama Ramadhan Saifullah turut menjadi sebutan pengendali kelahiran Korea Selatan tersebut, selain pemain tengah yang berkemungkinan besar merujuk Petrus Shitembi dan Moses Atede.

”Ramai (pemain Kuching City yang perlu diberi perhatian). Penyerang kedua mereka, tiga pemain tengah, malah Ramadhan (Saifullah) juga mempamerkan peningkatan.

“Ada empat atau lima pemain yang kami perhatikan,” kata beliau.

Di sebalik pandangannya itu, Kim Pan-gon tetap menaruh kepercayaan yang penuh terhadap para pemain Selangor untuk menggagalkan usaha Kuching City untuk memburu jaringan.

“Tetapi, saya masih yakin pemain kami mampu menyekat mereka,” komen Kim Pan-gon semasa ditemui di padang latihan Selangor pada Jumaat.

Aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Selangor vs Kuching City bakal diadakan pada Ahad ini, 5 April di Stadium MBPJ dengan sepak mula perlawanan dijadualkan tepat jam 9 malam.

Perlawanan ini penting bagi kedua-kedua pasukan memburu bekalan selesa sebelum aksi timbal balik kedua di Sarawak