5 Sebab Mengapa Pertemuan Malaysia vs India Amat Penting & Menarik
Blog
FA Malaysia + Indian Football
Advertisements

Penulis menunggu cukup lama sebelum akhirnya perlawanan Malaysia menentang India (Malaysia vs India) akhirnya menjadi realiti kerana terdapat beberapa perkara menarik yang berlaku dalam dunia bola sepak India.

India bukanlah negara ‘bola sepak’ kerana sukan kriket sentiasa menjadi sukan nombor 1 negara berkenaan dan bola sepak dilihat sebagai sukan tambahan sahaja sejak sekian lama sebelum evolusi berlaku pada tahun 2015.

Kini India memiliki liga tempatan yang bernilai tinggi dengan turut mempunyai pemilik kelab dari City Football Group yang memiliki Manchester City dan beberapa kelab ternama seluruh dunia.

Advertisements

Revolusi bola sepak India turut menyaksikan kenaikan mendadak ranking FIFA negara berkenaan daripada ranking ke-171 pada tahun 2014 kepada ranking ke-102 pada September 2023.

Sekarang penulis menyenaraikan secara khusus 5 perkara menarik berkaitan data dan perkara-perkara yang berlaku sebelum-sebelum ini dan apa yang bakal berlaku untuk perlawanan malam ini.

Advertisements

India Belum Tewas

Sepanjang tahun 2023, India belum pernah tewas dalam mana-mana perlawanan di samping berjaya menjuarai 2 kejohanan iaitu Piala SAFF dan Piala Intercontinental.

Rekod Jaringan Kedua-dua Pasukan Menarik (2023)

Untuk rekod, India berjaya menjaringkan 16 gol dalam 11 perlawanan (purata 1.45 gol/perlawanan) dan hanya bolos 2 gol disamping berjaya memenangi 9 perlawanan dan seri 2 perlawanan (tidak pernah tewas).

Advertisements

Malaysia pula berjaya menjaringkan 25 gol dalam 9 perlawanan (purata 2.77 gol/perlawanan) dan bolos 8 gol disamping berjaya memenangi 6 perlawanan, seri 2 perlawanan dan tewas 1 perlawanan.

Tugas berat dijangka menanti Malaysia untuk menjaringkan gol berhadapan pertahanan kental India dan India turut dijangka berhadapan tugas sukar untuk menjaringkan gol dengan pasukan yang sedang meningkat naik, Malaysia.

Advertisements

Mengubah Persepsi & Tanggapan Bola Sepak ASEAN

Selepas berlaku revolusi bola sepak, segelintir penyokong India sebelum ini pernah meremehkan pasukan-pasukan dari rantau Asia Tenggara yang dianggap tidak kuat dan berdepan laluan mudah dalam saingan melibatkan AFC di pelbagai peringkat.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, malam ini pasti akan menjadi malam penuh istimewa seandainya Malaysia berjaya menewaskan India sekaligus menutup mulut pengkritik dari India yang memandang rendah kualiti bola sepak rantau ASEAN.

Zeon Zoysia

Malaysia akhirnya bebas dari ‘cengkaman’ cowgrass atau nama saintifiknya Axonopus compressus dan kini bersedia mempersembahkan rumput lebih baik untuk aktiviti bola sepak iaitu Zeon Zoysia.

Dengan majoriti barisan pemain yang dipilih sudah biasa dengan rumput jenis Zeon Zoysia ini, ia bakal memberikan kelebihan kepada Kim Pan-gon menerapkan permainan serba moden yang didambakan rakyat Malaysia sejak sekian lama di rumah kita sendiri (Stadium Nasional Bukit Jalil).

Peluang Malaysia Pintas Filipina Selepas 12 Tahun

Perlawanan malam ini juga amat istimewa kerana jika Malaysia berjaya menewaskan India, Malaysia berpeluang cerah memintas kedudukan Filipina selepas kali terakhir berada di atas kedudukan Filipina pada 12 tahun lalu.

Selain dari 5 perkara di atas, kehadiran penyokong yang dikhabarkan mungkin melebihi angka 40,000 bakal menggamatkan lagi suasana perlawanan, atmosfera yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia setiap kali Harimau Malaya beraksi di stadium penuh sejarah, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Semoga kemenangan memihak kepada Malaysia!

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram