Kekalahan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada Khamis memastikan tempat Nur Izzuddin- Goh Sze Fei ke BWF World Tour Finals (WTF) 2024.
Aaron-Wooi Yik turun dengan momentum setelah menjuarai Korea Masters hujung minggu lalu dengan menumbangkan wakil tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho dalam tempoh 66 minit.
Walau bagaimanapun, rentak cemerlang beregu negara ini disekat oleh pasangan Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chien-Wang Chi Lin seawal pusingan kedua di Kumamoto Masters pada Khamis.
Pada aksi tersebut, Aaron dan Wooi Yik akur tumbang 11-21, 13-21 dalam tempoh 26 minit sekaligus menipiskan peluang buat pemenang pingat gangsa Olimpik Paris ini bagi layak ke WTF 2024.
Kekalahan Aaron-Wooi Yik ini menyaksikan satu lagi beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei berjaya menempah tempat ke WTF buat kali pertama meskipun turut tersingkir awal di Jepun ini.
Hasil kiraan mata Race To Hangzhou oleh Shuttlehard, tiada pasangan beregu lelaki negara yang mampu untuk memintas kedudukan ‘DinFei’ dalam kelompok 8 teratas hingga tamat tempoh kelayakan.
Nasib mendebarkan menanti pasangan muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila kini berada di kedudukan ke-7 dan akan turun berdepan jaguh Indonesia pada Khamis.
Izzuddin-Sze Fei mengikuti jejak langkah 3 lagi wakil negara yang sudah pun menempah tiket ke WTF lebih awal iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Pearly Tan-M. Thinaah.
BWF WTF adalah kejohanan penutup yang mengumpulkan lapan pemain terbaik bagi setiap kategori bagi merebut wang kemenangan berjumlah USD2.5 juta sekitar RM10,351,669.