Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Wooi Yik terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai Japan Open minggu hadapan.
Soh Wooi Yik yang bergandingan bersama Aaron Chia menghadiahkan pingat gangsa buat kontinjen negara di Olimpik Paris sekaligus mengulangi pencapaian edisi lalu.
Gandingan negara ini dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menumbangkan pasangan nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19.
Di sebalik kejayaan tersebut, khabar kurang enak diterima apabila Soh Wooi Yik dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kaki ketika bertarung di peringkat separuh akhir sebelum itu.
Menurut wartawan TV3, Syakirah Zulkifly, pemain berusia 26 tahun itu terpaksa mengambil keputusan untuk menarik diri dari menyertai Japan Open setelah melakukan pemeriksaan oleh pakar perubatan.
“Atas nasihat doktor, Soh Wooi Yik yang belum berada ditahap kecergasan baik perlu menarik diri dari Terbuka Jepun yang akan bermula Selasa depan,” tulis Syakirah di laman X.
“Menurut Rexy Mainaky, Wooi Yik mengalami kecederaan di bahagian kaki sejak aksi separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024, 1 Ogos lalu.”
Impian rakyat Malaysia bagi menyaksikan aksi Aaron-Wooi Yik di Jepun tampak tidak kesampaian untuk memberikan mereka tempoh rehat yang mencukupi sebelum kembali ke gelanggang.
Daihatsu Japan Open 2024 dijadualkan bermula pada 20 Ogos ini di Yokohama Kanagawa, Jepun dan menawarkan hadiah terkumpul bernilai USD850,000.