Pembantu jurulatih Shandong Taishan, Tang Tian akui sukar untuk mencari rujukan mengenai kekalahan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi AFC Champions League Elite (ACLE).
Setelah tumpas di final Chinese FA Cup, Shandong Taishan berdepan satu lagi tugas getir apabila bakal turun melayani kunjungan JDT di laman sendiri dalam aksi kelima ACLE.
Manakala JDT pula miliki senario berbeza apabila mencatat kemenangan dalam kesemua lima aksi terakhir termasuklah mengatasi KL Rovers dalam saingan Piala Malaysia minggu lalu.
Malah, moral para pemain JDT juga berada di tahap terbaik setelah menewaskan juara K-League, Ulsan Hyundai pada 5 November lalu sekaligus menghuni tempat ke-4 carta ACLE.
Menurut Tang Tian, skuad Harimau Selatan ini diakui sebuah lawan yang hebat bahkan tidak menjumpai sebarang rujukan yang memaparkan kekalahan JDT untuk mencari kelemahan.
“Semua orang tahu bahawa JDT adalah pasukan dominan di Malaysia. Saya telah mencari rujukan berkenaan kekalahan pasukan mereka, tetapi tidak menemukannya,” ujar Tang Tian memetik laporan 163.com.
Tambah beliau, barisan pemain yang dimiliki oleh skuad JDT juga sememangnya berkualiti dengan gabungan tonggak import, tempatan dan naturalisasi yang cukup baik.
“JDT adalah pasukan dengan barisan pemain bertaraf antarabangsa, terdiri daripada pemain import yang baik, pemain tempatan, serta pemain naturalisasi.”
“Barisan pemain antarabangsa mereka adalah satu cabaran bagi kami,” kata beliau yang hadir ke sesi sidang media bagi menggantikan tempat jurulatih, Kang Hee-Choi.
Justerus, Tang Tian berharap para pemain Shandong Taishan dapat segera bangkit dari kekalahan lalu dan beraksi dengan cukup baik pada perlawanan menentang JDT itu nanti.
“Kami baru sahaja selesai perlawanan akhir Piala FA, dan tugas utama sekarang adalah untuk semua orang segera keluar daripada kekecewaan ini.”
“Saya berharap seluruh pasukan dapat bersatu dan bermain dengan baik dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC.”
Ketika ini, Shandong Taishan berada di kedudukan ke-9 carta ACLE setelah mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dalam empat perlawanan awal sebelum ini.
Pertemuan Shandong Taishan dan JDT bakal berlangsung pada Selasa, 26 November di Pusat Sukan Olimpik Jinan dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam waktu tempatan.