Indonesia terpaksa membuat pertukaran kecemasan menjelang aksi Kumpulan C Piala Asia 2023 menentang Iraq esok.
Keputusan itu dibuat selepas penjaga gol Persikabo, Syahrul Trisna Fadillah mengalami kecederaan.
Ini mendorong pengendali Korea Selatan, Shin Tae-yong memanggil Nadeo Argawinata untuk menggantikan tempat Syahrul.
Perkara ini diumumkan oleh Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) beberapa jam lalu.
Nadeo dijangka bersaing dengan dua lagi penjaga gol, Ernando Ari dan Muhammad Riyandi untuk merebut kedudukan penjaga gol utama Tim Garuda.
Penjaga gol berusia 26 tahun itu bukan asing dengan skuad kebangsaan Indonesia. Selepas diberi peluang membuat kemunculan pertama untuk Tim Garuda oleh Tae-yong pada 2021, Nadeo telah merekodkan 24 penampilan.
Dalam tempoh tersebut, beliau hanya melepaskan gol sebanyak 30 kali dan memegang rekod tanpa bolos sebanyak sembilan perlawanan mengikut data Transfermarkt.
Ini perubahan kedua yang dibuat Tae-yong selepas sebelum ini menggugurkan Saddil Ramdani dan Arkhan Fikri daripada senarai 26 pemain ke Piala Asia 2023.
Indonesia bakal membuka kempen Kumpulan C dengan menentang Iraq pada 15 Januari di Stadium Ahmad bin Ali di Al-Rayyan, Qatar.