Juara A-League, Central Coast Mariners bangkit daripada kekalahan pertama Kumpulan G dengan membelasah wakil Filipina, Stallion Laguna 9-1 di Stadium Central Coast.
Selepas tewas tipis 1-0 di tangan Terengganu FC, The Mariners mahu bangkit di bawah jurulatih baru, Mark Jackson.
Sementara Stallion pula berharap dapat mengelak daripada mengalami kekalahan besar di tempat lawan.
Apa yang diharap jurulatih The Stallions, Ernest Nierras tidak menjadi kenyataan dengan The Mariners menyumbat gol pertama menerusi Dylan Wenzel-Halls pada minit keenam.
Penyerang Brazil, Marco Tulio menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-28. Begitupun, Stallion merapatkan jurang menerusi Juan Diego Galeanna Trujillo tiga minit kemudian.
The Mariners kembali selesa di hadapan apabila Tulio menyumbat gol ketiga pada minit ke-44. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Wenzel-Halls buat pelawat makin derita dengan gol keempat pada minit ke-57. Enam minit kemudian, Brian Kaltak mencipta nama sebagai penjaring.
Pemain gantian, Alou Kuol menyumbat gol keenam pada minit ke-69. Angel Torres dan Josh Nisbet menceriakan penyokong dengan masing-masing menyumbat gol ketujuh dan kelapan pada minit ke-75 dan 85.
Tulio melengkapkan kemenangan The Mariners dengan gol kesembilan pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini meletakkan mereka sebagai pendahulu Kumpulan G untuk seketika. Bagaimanapun, kedudukan ini dijangka berubah sekiranya Terengganu atau Bali United meraih kemenangan dalam satu lagi aksi kumpulan malam ini.