Malaysia berada dalam posisi terbaik dalam carta AFC MA Ranking untuk membolehkan dua kelab Liga Super layak ke AFC Champions League Elite (ACLE) 2028/2029.
Persembahan cemerlang kelab Liga Super seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Asia berjaya meletakkan Malaysia dalam kelompok liga terbaik di rantau ini dengan menduduki tangga ke-10 AFC MA Ranking baru-baru ini.
Kemas kini oleh laman Footy Ranking menyaksikan Malaysia yang berada di tangga ke-11 sebelum ini berjaya memintas China sekali gus menembusi kelompok 10 liga terbaik di rantau Asia, bersama Uzbekistan Australia dan Thailand.
Ketika ini, Malaysia sudah mengumpul 40.809 mata bagi menghuni tangga ke-10, hasil tambahan 12.083 mata yang dikutip oleh wakil negara dalam saingan kelab Asia musim lalu, manakala China ketinggalan 2.467 mata di belakang.
Kedudukan di tangga ke-10 ini bakal memberikan peluang buat dua kelab dari Liga Super Malaysia untuk bermain di AFC Champions League Elite (ACLE) setelah mengambil kira slot 1+1 yang ditawarkan di posisi setinggi ini.
Walau bagaimanapun, wakil Malaysia di pentas Asia musim ini iaitu JDT dan Kuching City masing-masing perlu tampil cemerlang di ACLE serta ACL Two bagi menjamin kedudukan ini supaya tidak dipintas semula oleh China.
Jika Malaysia kekal di posisi ke-10 ini, juara Liga Super akan layak secara automatik ke ACLE 2028/2029 manakala satu lagi kelab bakal bersaing di peringkat kelayakan dan satu lagi wakil negara meraih slot beraksi di ACL Two.
Malaysia masih kekal di tangga kedua sebagai liga terbaik di rantau Asia Tenggara, di belakang Thailand dan diikuti negara lain seperti Vietnam, Singapura, Kemboja, Indonesia, Filipina, Myanmar, Laos, Brunei DS serta Timor Leste.
Bagi kedudukan Asia Timur, Malaysia kini di posisi ke-5 setelah memintas China di belakang Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Australia menjelang saingan kelab Asia yang dijadualkan bermula sekitar bulan September akan datang.
Perubahan kedudukan negara lain pula menyaksikan Vietnam memotong Singapura untuk berada di tangga ke-14 sementara India dan Bangladesh masing-masing turut melonjak satu anak tangga dalam kemas kini semasa.