Timor-Leste telah memberi amaran awal kepada pasukan Malaysia agar tidak memandang rendah cabaran mereka menjelang aksi kedua peringkat kumpulan B Piala AFF Bawah 23.
Tentangan sengit yang diberikan Timor-Leste ke atas Indonesia menyaksikan pasukan kendalian Shin Tae-yong hanya meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Ramadhan Sananta.
Kualiti persembahan para pemain Timor-Leste juga semakin meningkat sewaktu aksi bertemu Indonesia apabila mampu melancarkan beberapa serangan berbahaya ke atas kubu pertahanan Indonesia.
Timor-Leste berjaya melakukan 7 percubaan ke gawang gol Indonesia dan merekodkan ketepatan hantaran sebanyak 62%.
Walaupun Indonesia mendominasi penguasaan bola, kemampuan jentera serangan Timor-Leste untuk melakukan beberapa serangan balas memberi petanda bahawa Malaysia harus memperkemaskan lagi barisan pertahanan pasukan.
Malaysia perlu berwaspada dengan ancaman Timor-Leste yang bakal memberikan cabaran sengit dalam aksi kedua peringkat kumpulan kelak.
Pasukan kendalian E. Elavarasan memiliki bahagian serangan yang berkualiti namun perlu memperbaiki permainan hantaran jauh agar tidak memberi ruang kepada Timor-Leste untuk melakukan serangan balas.
Pertemuan ini bakal menyaksikan pasukan mana bakal layak ke peringkat seterusnya dalam saingan Piala AFF Bawah 23 edisi 2023.