Skuad senior Malaysia menerima tamparan hebat apabila Afiq Fazail terpaksa disisihkan daripada aksi final Pestabola Merdeka 2024.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan lutut semasa Malaysia menentang Filipina.
Kecederaan ini memaksa jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memasukkan Nooa Laine untuk menggantikan Afiq pada minit ke-34.
“Afiq Fazail mengalami kecederaan di bahagian lutut, dijangka terlepas aksi final Pestabola Merdeka bertemu Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini. Semoga cepat sembuh, Jambu!” katanya di X.
Malaysia ketinggalan awal menerusi gol sendiri Feroz Baharudin. Skuad negara kemudiannya meraih kemenangan menerusi jaringan Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid.
Berita ini juga dijangka meresahkan pengendali Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Hector Bidoglio. Ini kerana Afiq merupakan tonggak penting JDT di bahagian tengah.
Situasi ini tidak dibantu dengan beberapa perlawanan yang bakal diharungi JDT selepas tamat kalendar antarabangsa FIFA.
Ini termasuk aksi pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Harimau Selatan dan Shanghai Port di Stadium Bola Sepak Pudong pada 18 September ini.
Skuad negara bakal berdepan cabaran wakil Asia Barat, Lubnan di pentas final pada 8 September ini. The Cedars mara ke final selepas menyingkirkan juara bertahan, Tajikistan.