Aidil Sharin Akui Penalti Kontroversi Punca Pemain Hilang Fokus
Liga Super
Kedah Darul Aman FC
Advertisements

Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak menganggap pasukannya terlepas peluang untuk mencalar rekod tanpa kalah Johor Darul Takzim (JDT) dalam kancah Liga Super musim ini, kerana penalti kontroversi dihadiahkan pengadil Hamdan Awang.

Kedah dilihat berada dalam landasan tepat untuk melakar kejutan ke atas juara Liga Super itu, apabila beraksi dengan kelebihan seorang pemain di keseluruhan babak kedua perlawanan setelah ayam tambatan JDT, Bergson da Silva dilayangkan kad merah pada minit akhir separuh masa pertama.

Kelebihan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan Kedah dan menurut Aidil Sharin, penalti yang disempurnakan Leandro Velazquez pada minit ke-60 merupakan titik tolak yang mengubah sepenuhnya skrip perlawanan.

Advertisements

“Di separuh masa pertama kami bermain seperti dirancang dan berjaya mendapatkan gol awal, namun penalti di babak awal separuh masa kedua menjejaskan moral pasukan dengan teruk. Kelebihan seorang pemain tidak membantu kerana pemain sudah mula hilang fokus.

“Sepakan penalti itu sama ada betul atau tidak saya tak mahu komen, tapi ia memberi impak kepada sebuah pasukan yang sedang bertembung dengan pasukan kuat.

“Saya rasa jika kami tidak dibolosi melalui penalti, keadaan mungkin akan berlainan kerana kami berada dalam momentum yang baik ketika itu.

Advertisements

“Perancangan sebenar saya adalah untuk membuat perubahan pada corak serangan selepas minit ke-65, tetapi selepas penalti itu, kami terus tertekan dan melakukan kesilapan berulang di dalam kotak penalti seterusnya bolos mudah untuk gol ketiga,” kata Aidil Sharin selepas perlawanan.

Aksi di Stadium Darul Aman menyaksikan Kedah terlebih dahulu di depan menerusi Ronald Ngah Wanja pada minit ke-12 sebelum Bergson mengikat kedudukan pada minit ke-37.

Leandro meledak gol kedua pada minit ke-59 disusuli jaringan Afiq Fazail pada minit ke-79 menghadiahkan kemenangan ke-15 buat skuad Harimau Selatan.

Advertisements

Tambah Aidil Sharin lagi, “Inilah perkara yang selalu saya nyatakan bila kita berdepan JDT, kalau ketinggalan, memang agak sukar untuk kembali bangkit namun saya tetap memuji sikap usaha dan kerja keras yang ditunjukkan oleh semua pemain.

“Kami perlu menerima kekalahan ini kepada pasukan yang lebih baik pada perlawanan ini dan pemain akan mencuba bangkit pada perlawanan seterusnya.”

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram