Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak enggan meletakkan tekanan kepada pemain baharu pasukan itu, Gabriel Palmero.
Selepas sah menyertai Kuching City baru-baru ini, ramai penyokong tidak sabar melihat Palmero membuat penampilan pertamanya bersama pasukan itu.
Hajat penyokong setia The Cats menjadi kenyataan apabila beliau masuk menggantikan Danial Asri dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Brunei DPMM.
Palmero tidak menunggu lama untuk membuat impak segera. Bekas pemain pertahanan CD Tenerife itu menyumbat gol ketiga Kuching City pada minit ke-69.
Gol itu memastikan Kuching City meraih kemenangan 3-1 ke atas DPMM. The Cats mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 6-2.
Meskipun gembira dengan impak Palmero, Aidil enggan meletakkan tekanan kepada pemain pertahanan Harimau Malaya itu.
Ini kerana beliau mengambil kira faktor kecergasan Palmero lebih-lebih lagi selepas tidak beraksi selama empat bulan.
“Kita boleh nampak Gabriel bermain dengan baik malam ini. Jangan lupa beliau mendapat sokongan para pemain. Sudah tentu beliau akan banyak menyumbang.
“Tetapi kita jangan letak terlalu banyak tekanan ke atas beliau kerana beliau tidak bermain empat bulan. (Tempoh) empat bulan, (tahap) kecergasan permainan banyak hilang.
“Hari ini satu langkah yang bagus buat beliau. Ia satu permulaan yang baik dan beliau mempamerkan prestasi bagus. Harapnya, beliau akan terus menyumbang kepada Kuching City,” katanya selepas perlawanan.
Palmero antara rekrut baharu Kuching City dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Super. Selain beliau, The Cats turut merekrut Ahmed Israiwah, Jerome Mpacko Etame dan Ariff Farhan Md Isa.