Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memaklumkan pasukan itu akan mengamalkan corak menyerang dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Brunei DPMM FC.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya strategi berdepan anak buah Jamie McAllister itu dalam aksi timbal balik.
Aidil melihat strategi ini bukan saja membantu The Cats mempertahankan kelebihan agregat mereka di Stadium Negeri Sarawak.
Malah, ini juga dilihat membalas sokongan penyokong yang setia bersama Kuching City musim ini terutama di laman sendiri.
“Jadi sudah tentu kami mahu menyerang dan menjaringkan gol kerana penyokong mahu melihat perlawanan yang menarik dan bola sepak yang berkualiti.
“Di situlah cara kami membalas sokongan mereka. Seperti yang saya katakan, kami tidak akan bermain selesa dan bertahan dalam perlawanan di tempat sendiri,” katanya seperti dilaporkan TVS.
Kuching City memiliki kelebihan dua gol apabila menewaskan DPMM 3-1 di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah pada 7 Februari lalu.
Gol Jerome Mpacko Etame, Ramadhan Saifullah Usman dan gol sendiri Haimie Nyaring memastikan kemenangan milik The Cats. DPMM membalas menerusi gol sendiri James Okwuosa.