Kuching City berjaya menewaskan tuan rumah, Brunei DPMM dengan keputusan 1-3 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah pada Sabtu.
Brunei DPMM mempertaruhkan Haimie Nyaring di posisi penjaga gol, Azwan Ali Rahman sebagai kapten pasukan, manakala Syafiq Ahmad menjadi sandaran utama di jentera serangan.
Kuching City pula meletakkan Haziq Nadzli sebagai benteng terakhir, James Okwuosa memimpin pasukan selaku kapten, manakala gandingan berbisa, Ramadhan Saifullah & Danial Asri, dijadikan ayam tambatan serangan.
Kuching City dilihat memulakan perlawanan dengan tempo yang tinggi bagi memperoleh jaringan pembukaan meskipun beraksi di halaman lawan.
Kuching City terus menerus mengasak kubu pasukan tuan rumah, Brunei DPMM menerusi Ramadhan Saifullah & Petrus Shitembi namun gagal menemui jaring.
Brunei DPMM turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang The Cats oleh Syafiq Ahmad & Jordan Murray namun ketangkasan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli harus diberi pujian.
Kuching City membuka akaun jaringan perlawanan pada penghujung separuh masa pertama menerusi pemain import baharu, Jerome Etame sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Kuching City.
Bersambung ke babak kedua, Brunei DPMM dilihat meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol penyamaan aksi.
Kuching City tampak terus menerus menguasai perlawanan dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya menerusi pemain-pemain hadapan pasukan The Cats
Brunei DPMM memperoleh gol penyamaan selepas James Okwuosa tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-50 sekali gus menceriakan penyokong-penyokong tuan rumah di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah.
Kuching City tidak mengendurkan asakan apabila terus meningkatkan intensiti serangan bagi membawa bekalan selesa ke halaman sendiri dalam aksi timbal balik.
Kuching City memperoleh gol kedua apabila penjaga gol Brunei DPMM, Haimie Nyaring, gagal menumbuk keluar bola hasil sepakan penjuru The Cats pada minit ke-64.
Jaringan Ramadhan Saifullah pada minit ke-83 melengkapkan kemenangan Kuching City dalam aksi suku akhir pertama, sekali gus memastikan The Cats membawa pulang kelebihan dua gol untuk perlawanan timbal balik kedua.
Aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 antara Brunei DPMM dan The Cats di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah berakhir dengan keputusan 1-3, memihak kepada pasukan pelawat, Kuching City.