Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengingatkan pasukan itu agar tidak terlalu gembira dengan prestasi hambar Selangor FC dalam beberapa perlawanan.
Ini kerana pada hemat beliau, semua pasukan memiliki kelemahan termasuk The Cats sendiri. Selain itu, setiap perlawanan juga merupakan perlawanan baharu bagi setiap pasukan.
Atas sebab itu, Aidil mahu anak buahnya menampilkan prestasi terbaik menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kuching City dan Selangor.
“Semua pasukan ada kelemahan, bukan saja Selangor tetapi kita pun ada kelemahan. Perkara paling penting ialah kita tidak boleh gembira dengan keputusan mereka dalam dua perlawanan terakhir.
“Perkara paling penting ialah ini perlawanan baru dan perlawanan penting buat kita,” katanya kepada Nadi Bola.
Aidil turut melihat aksi ini sebagai peluang untuk meneruskan aspirasi Kuching City ke pentas final Piala Malaysia.
Beliau percaya dengan sokongan penyokong dan pengurusan serta keazaman barisan pemain pasukan itu, perkara itu mampu dicapai.
“Kita tidak mahu berhenti di perlawanan ini (aksi separuh akhir),” ujar bekas jurulatih Persikabo itu.
“Insya Allah, saya fikir dengan sokongan penyokong, keazaman pemain dan sokongan pengurusan, kita akan beri yang terbaik untuk perlawanan separuh akhir ini.”
Kuching City dan Selangor terikat 1-1 secara agregat selepas aksi separuh akhir pertama pada 5 April lalu. Selepas mendahului menerusi penalti Ronald Ngah Wanja, Selangor meraih gol penyamaan menerusi Chrigor Moraes.
Aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuching dijangka menarik kehadiran ribuan penyokong di Stadium Negeri Kuching. Hampir 15,000 tiket sudah terjual untuk aksi berkenaan.