Kemeriahan menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia antara Kuching City dan Selangor pada 18 April ini semakin hangat.
Ini selepas pengurusan Kuching City memaklumkan 13,976 tiket separuh akhir edisi 2025/26 itu sudah dijual setakat ini.
“13976 tiket habis terjual selepas 2 hari penjualan! Nang antappp!
Tiket dah sik banyak gik tinggal tok,” kata Kuching City dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Selain itu, pengurusan Kuching City turut memaklumkan bahawa tiket berbumbung Zon A, B, & C telah habis terjual dan hanya tinggal tiket terbuka Zon A & B sahaja.
“Tiket berbumbung Zon A, B & C habis terjual. Hanya tiket terbuka Zon A dan B sahaja yang masih tersedia,” kata kelab tersebut.
Aksi ini mendapat sambutan hangat kerana kedua-dua pasukan berada di kelompok teratas saingan Liga Super, dengan Kuching City di kedudukan kedua manakala Selangor di tangga ketiga.
Selain itu, perlawanan pertama separuh akhir antara kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium MBPJ pada 5 April lalu.
Kali terakhir Selangor mara ke final Piala Malaysia adalah pada tahun 2022, namun The Red Giants terpaksa akur apabila tewas 2-1 kepada JDT.
Sementara itu, Kuching City masih belum pernah melangkah ke pentas final Piala Malaysia. Pencapaian terbaik The Cats setakat ini adalah pada musim ini apabila berjaya mara hingga ke peringkat separuh akhir.
Penyokong yang masih belum mendapatkan tiket aksi separuh akhir ini boleh mendapatkannya di platform Ticket Hotline.
Kuching City bakal melayan kunjungan Selangor pada 18 April ini di Stadium Negeri dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2025/26, dengan sepak mula dijadualkan pada pukul 8.15 malam.