Aidil Sharin: Tiada Siapa Jangka Kuching City Tempat Kedua
MakanBola
Kuching City FC

Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menzahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t atas pencapaian pasukan itu bergelar naib juara Liga Super.

Ini kerana pencapaian tersebut ditambah dengan kejayaan mara ke final Piala Malaysia musim 2025/26 sebagai satu pencapaian hebat buat kelab Sarawak itu.

“Tiada siapa menjangkakan kami berada di tempat kedua dan juga mara ke final Piala Malaysia, tetapi pemain berjaya membuktikannya.

“Ini adalah permulaan yang baik untuk kelab,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan pasukan itu dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) seperti dilaporkan TVS.

Kuching City memastikan pencapaian naib juara menjadi milik mereka dengan menewaskan KL City 1-0. Jerome Mpacko Etame muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan.

Aidil turut memuji karakter yang dimiliki barisan anak buahnya. Ini kerana aspek tersebut dilihat kunci buat Kuching City menutup kempen liga di tempat kedua.

“Kadang-kadang kami sedih, tetapi saya selalu cakap kepada pemain, ini maraton, bukan larian 100 meter.

“Karakter pemain memainkan peranan penting dan mereka tidak pernah menyerah,” tambah jurulatih Singapura itu.

Kejayaan ini menyaksikan anak buah Aidil akan bersaing dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan.

Selain itu, Kuching City juga berpeluang beraksi dalam saingan Shopee Cup musim depan. Potensi itu boleh direalisasikan sekiranya Selangor FC muncul juara kejohanan itu musim ini.

Kini, fokus Kuching City beralih kepada aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 23 Mei ini.