Penyerang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Ajdin Mujagic mengirim mesej istimewa buat penyokong pasukan itu.
Selepas melengkapkan perpindahan ke Harimau Selatan dari Sabah, penyerang Bosnia berusia 28 tahun itu perlu menunggu untuk membuat penampilan pertamanya.
Penantian Mujagic berakhir apabila dipilih Xisco Munoz mengetuai jentera serangan JDT menentang Melaka FC dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia.
Bekas penyerang Sang Badak itu membalas kepercayaan Munoz dengan meledakkan hatrik dalam perlawanan sama. Mujagic turut mencipta dua bantuan gol dalam aksi itu.
Gol Manuel Hidalgo dan Marcos Guilherme memastikan JDT memiliki kelebihan lima gol terhadap anak buah E. Elavarasan.
Selepas perlawanan, Mujagic menghargai sokongan penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir (ke SSI). Kita berjumpa dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Mujagic sudah merekodkan 21 gol dan tiga bantuan gol dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini.