Piala Malaysia: Hatrik Ajdin Mujagic Bantu JDT Menang Besar Atasi Melaka
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT menewaskan Melaka 5-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim pada hari Jumaat.

JDT menurunkan Christian Abad sebagai penjaga gol, dengan Natxo Insa menggalas lilitan kapten pasukan, manakala gandingan penyerang import baharu, Ajdin Mujagic & Bergson da Silva mengetuai jentera serangan.

Sementara itu, Melaka mempertaruhkan Haziq Aiman di posisi penjaga gol, dengan Irfan Zakaria memimpin kesebelasan utama pasukan tersebut.

Sejak awal separuh masa pertama, Harimau Selatan tampil garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi Hector Hevel & Bergson da Silva.

JDT membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-5 menerusi penyerang import baharu, Ajdin Mujagic apabila beliau menerima umpanan mudah dalam kawasan kotak penalti Melaka.

Ajdin Mujagic meledak gol kedua perlawanan pada minit ke-8 menerusi rembatan kencang sekali gus menjarakkan defisit 2 gol dalam tempoh 10 minit aksi.

Melaka turut melakukan percubaan melalui sepakan percuma pemain bernombor 88, Do Dong-hyun pada minit ke-27 namun rembatan beliau tersasar jauh dari gawang Harimau Selatan.

JDT terus menerus mengasak kubu pasukan Melaka pada penghujung separuh masa pertama namun tiada gol tambahan ditemui.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bersambung babak kedua, JDT terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol tambahan aksi ini.

Ajdin Mujagic meneruskan aksi cemerlang beliau dengan meledak gol ketiga aksi ini pada minit ke-61 sekali gus mencatatkan hatrik dalam perlawanan pertama beliau bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

JDT menambah derita pasukan Melaka dengan meledak gol keempat aksi pada minit ke-73 hasil jaringan cantik oleh Manuel Hidalgo.

Marcos Guilherme menutup malam gemilang Harimau Selatan dengan menjaringkan gol kelima perlawanan pada minit ke-75.

Aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia 2025/26 di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) & Melaka tamat dengan keputusan 5-0 memihak kepada pasukan tuan rumah.