Melaka Bawa ‘Kereta Kebal’ Baharu Hadapi JDT
MakanBola
MELAKA FC

Melaka membawa masuk pemain pertahanan prolifik baharu bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia musim 2025/26 pada Jumaat.

Pemain yang dimaksudkan ialah bekas pertahanan kental Kelantan TRW, Simen Lyngbo, yang menyertai Melaka FC selepas jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Sepanjang setengah musim bersama Kelantan TRW, Simen Lyngbo telah membuat 21 penampilan dengan meledak tiga gol serta mencatat satu bantuan jaringan.

Beliau mengumumkan perpisahan dengan Kelantan TRW pada 11 Februari lalu selepas beraksi bersama kelab itu selama setengah musim.

Menurut wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, Simen Lyngbo berada dalam skuad Melaka FC bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat.

“Pemain berusia 27 tahun itu turut menyertai pasukan dalam kunjungan ke SSI bagi harungi aksi suku akhir Piala Malaysia bertemu JDT pada Jumaat,” kata Fadhirul Shuhaimi dalam satu hantaran di laman media X.

Melaka FC bakal berdepan cabaran juara bertahan Piala Malaysia, JDT, dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 yang dijadual berlangsung pada Jumaat, 13 Februari di Stadium Sultan Ibrahim.