Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menyamai rekod dunia dari segi rekod perlawanan tanpa kalah menjadi sebutan hingga ke luar negara.
JDT menyamai rekod ASEC Mimosas dengan 108 perlawanan dengan membelasah Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 14-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) baru-baru ini.
Pencapaian hebat Harimau Selatan bukan saja menjadi sebutan akhbar United Kingdom dan wartawan sukan antarabangsa.
Malah, rekod hebat JDT turut mendapat liputan program sukan terkemuka British Broadcasting Corporation (BBC), Match of the Day. Ini berdasarkan satu video yang dihoskan pengacara BBC Sport, Sam Harris.
Video ulasan Harris tentang rekod kebal JDT itu kemudiannya disiarkan di semua platform Match of the Day dan BBC Football.
“Sebuah kelab di Malaysia telah menyamai rekod untuk rekod tanpa kalah terpanjang dalam bola sepak lelaki. Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 dalam perlawanan terakhir mereka musim ini.
“Ini bermakna mereka menyamai rekod dunia tanpa kalah sebanyak 108 perlawanan yang dilakukan oleh kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas dari 1989 hingga 1994.
“Mereka perlu menunggu sehingga musim hadapan yang dijangka bermula pada (Ogos) 2026 untuk mencuba mencipta rekod baharu 109 perlawanan,” katanya.
Selain BBC Football, akhbar The Sun, portal Sporting News dan London World turut memberi ulasan menarik berhubung pencapaian JDT menyamai rekod ASEC Mimosas.
Ini bukan saja menunjukkan pencapaian JDT terus menjadi sebutan di peringkat antarabangsa. Malah, ini secara tidak langsung menyerlahkan lagi jenama JDT sebagai organisasi sukan yang tersusun dan profesional.
Lantas, tidak hairanlah mengapa wartawan sukan antarabangsa, Nicolo Schira melabel rekod hebat JDT ini sebagai satu kisah yang menakjubkan.