JDT Samai Rekod Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Satu lagi kejayaan besar dicapai Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menyamai rekod dunia yang berusia 32 tahun.

JDT turun dalam perlawanan terakhir Liga Super 2025-2026 menentang Kelantan The Real Warrior dan berhasil menutup musim dengan penuh jayanya dengan satu lagi kemenangan besar.

Kemenangan penuh mengagumkan 14-1 dicapai oleh JDT di Stadium Sultan Ibrahim dengan Bergson menyumbangkan 6 gol selain Manuel Hidalgo yang turut melakar hatrik pada aksi ini.

5 pemain lain iaitu Teto Martin, Syamer Kutty, Jonathan Silva, Stuart Wilkin dan Antonio Glauder masing-masing mencetak satu gol untuk turut menyumbang kepada penutup gemilang JDT.

Kejayaan JDT ini turut menyamai rekod dunia yang dipegang oleh kelab Ivory Coast iaitu ASEC Mimosas yang merekodkan 108 perlawanan liga tanpa kalah selama 5 tahun dari tahun 1989 hingga 1994.

Skuad Harimau Selatan berpeluang memecahkan rekod gah ini pada musim hadapan jika berjaya mengelakkan kekalahan dalam aksi pertama Liga Super yang juga perlawanan Piala Sumbangsih.

Sebagai rekod, kali terakhir JDT tewas dalam aksi Liga Super adalah ketika tumbang 0-1 di tangan Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April 2021, sekitar 5 tahun yang lalu.