Advertising
Akram Mahinan Tak Pandang Negeri Sembilan Sebelah Mata
MakanBola
Terengganu FC

Pemain tengah Terengganu FC, Akram Mahinan mengingatkan pasukan itu agar tidak terlalu selesa dengan kelebihan jaringan mereka menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia.

Aksi suku akhir kedua bakal menemukan Peteh dan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 21 Disember.

Ad

Terengganu memiliki kelebihan dua gol selepas meraih kemenangan 2-0 di Paroi pada 14 Disember lalu. Gol Safawi Rasid dan Nelson Bonilla memberi kelebihan buat anak buah Badrul Afzan Razali.

Ad

Meskipun Peteh memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, Akram berharap pasukan itu kekal fokus. Ini kerana Negeri Sembilan berupaya mencipta kejutan ke atas pihak lawan.

Perkara ini terjadi kepada PDRM FC dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik pada 29 November lalu. Tiga gol di Selayang membantu anak buah K. Nanthakumar meraih kemenangan agregat 4-2.

Ad

Atas sebab itu, Akram tidak mahu perkara sama menimpa Peteh lebih-lebih lagi bila mereka beraksi di SSMZA.

Ad

“Pasukan yang ketinggalan semestinya akan memberikan tekanan dari awal permainan. Oleh itu kami sepasukan perlu lupakan kita sudah mempunyai dua bekalan jaringan.

Ad

“Sebaliknya, kita perlu bertahan dengan penuh disiplin dan menyerang untuk mendapatkan jaringan seterusnya,” katanya.

Akram turut menagih sokongan padu penyokong Terengganu untuk memacu pasukan itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Kita perlu guna peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk tampil lebih bersemangat untuk mendapatkan kemenangan,” tambahnya.

Terengganu bakal menghadapi kempen suku akhir Piala Malaysia tanpa kelibat penjaga gol berkaliber, Suhaimi Husin. Ini selepas penjaga gol berusia 30 tahun itu perlu berehat panjang kerana mengalami kecederaan ligamen kolateral medial (MCL).

Justeru, tanggungjawab mengawal gawang bakal digalas Rahadiazli Rahalim dengan Syed Nasrulhaq Syed Bidin sebagai penjaga gol sokongan.