Pemain perancang pasukan Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya sekali lagi memainkan peranan penting apabila menjadi pencetus kebangkitan pasukan malam semalam.
Perlawanan pembukaan Liga Super ini bermula dengan aksi Derby Lembah Klang melibatkan pertembungan antara KL City menentang Selangor FC yang berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 3-3.
Namun begitu, pemain berusia 27 tahun ini menjadi nadi kepada pasukan Bojan Hodak apabila berjaya membuat barisan pertahanan pasukan Selangor tidak senang duduk.
Bukan itu sahaja, kelibat pemain ini di atas padang sangat memberi impak untuk mewujudkan elemen kreativiti yang menyukarkan pasukan pelawat terutamanya barisan pertahan yang diketuai oleh Khairul Azhan Khalid.
Hal ini terbukti apabila pasukan tuan rumah memperoleh jaringan penyamaan menerusi pemain kelahiran Selangor ini meledak satu gol cantik pada minit ke-19.
Zhafri berjaya melepasi kawalan pemain pasukan lawan sebelum melepaskan satu rembatan kencang melepasi kawalan penjaga gol Selangor.
Beliau juga tidak kurang efektif untuk membantu barisan pertahanan KL City ketika asakan bertali arus pasukan Micheal Feichtenbeiner beberapa kali disekat.
Zhafri juga pencetus kepada gol kedua pasukan apabila larian ’dummy’ yang dilakukan telah menyebabkan kapten pasukan, Paulo Josue tidak dikawal untuk membuat hantaran sebelum disudahkan oleh Hadin Azman.
Gol ketiga KL City juga melibatkan pergerakan beliau yang bijak untuk lolos masuk ke dalam kotak penalti untuk menanduk hantaran rakan sepasukan sebelum sepakan Ryan Lambert meletakkan KL di hadapan.
Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 3-3.
Kini, Zhafri menjadi antara watak penting pasukan setelah gol pada perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu telah membantu untuk menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT).