Aksi Selangor vs JDT Raih Kehadiran 5 Angka Ke Stadium Minggu 14
MakanBola
Selangor FC
Sponsors

Aksi Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) merekodkan kehadiran tertinggi untuk perlawanan minggu ke-14.

Bersesuaian dengan status kedua-dua pasukan sebagai pasukan gergasi utama tanah air, aksi ini menarik kehadiran ramai peminat bola sepak negara. Aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ pada 27 Oktober lalu merekodkan kehadiran 10,215 orang.

Ad
Sponsors

Angka kehadiran ini merupakan angka kehadiran ketiga tertinggi direkodkan Selangor di Stadium MBPJ dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Ad

Sebelum ini, Stadium MBPJ merekodkan kehadiran 10,569 orang untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Kuching City FC dan 10,365 orang untuk aksi liga menentang Perak FC.

Aksi Selangor-JDT menyaksikan Harimau Selatan terus memperkukuh cengkaman di persada liga dengan kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah. Bergson da Silva dan Romel Morales mencetak nama sebagai penjaring.

Ad

Angka kehadiran kedua tertinggi direkodkan di Stadium Darul Aman membabitkan aksi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan PDRM FC.

Ad

Aksi pada 25 Oktober itu menyaksikan 3,446 orang hadir sekaligus angka kedua tertinggi dari segi kehadiran di Stadium Darul Aman. Ini sekaligus mengatasi rekod 3,281 orang yang dicipta dalam aksi menentang Terengganu FC pada 19 Oktober.

Ad

Lebih 3,000 penyokong menyaksikan Sang Kenari diikat 1-1 oleh PDRM. Jose Cleylton membuka tirai jaringan buat Kedah sebelum Sang Saka Biru meraih gol penyamaan menerusi Aremu Timothy.

Seterusnya, aksi Perak dan Terengganu di Manjung merekodkan kehadiran ketiga tertinggi iaitu seramai 2,602 orang. Penyokong yang hadir terhibur apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Luka Milunovic dan Luciano Guaycochea menyumbat gol buat tuan rumah. Manakala Nelson Bonilla dan Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim menyamakan kedudukan buat Peteh.

Dua aksi liga merekodkan kehadiran lebih seribu orang ialah aksi Penang FC-Sabah FC dan aksi Kuching City FC-KL City FC. Kedua-dua aksi ini masing-masing merekodkan kehadiran 1,210 orang dan 1,187 orang.

Empat gol jarak jauh membantu Sang Badak menewaskan Sang Harimau Kumbang di Stadium Bandaraya. Manakala The Cats pula berjaya menewaskan The City Boys 3-1 meskipun dipaksa bermain dengan sembilan pemain.

Satu-satunya aksi yang merekodkan kehadiran tiga angka ialah aksi Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Sri Pahang FC. Disebabkan proses penaiktarafan Stadium Sultan Muhammad IV masih belum siap, Kelantan DN menggunakan Temerloh sebagai venue tuan rumah untuk aksi berkenaan.

717 orang menjadi saksi kebangkitan Sri Pahang untuk mengikat Sang Kijang Emas 1-1 pada akhir perlawanan.

Selepas ini, aksi liga bakal diteruskan dengan hari perlawanan minggu ke-15 liga. Perlawanan minggu ke-15 liga bakal diadakan pada 1, 2 dan 3 November ini.