Pemain bola sepak wanita berdarah Malaysia, Allyssa Ng-Saad membawa khabar gembira dari bumi Australia.
Ini kerana beliau telah menerima tawaran kelabnya, Western Sydney Wanderers Women untuk memeterai kontrak profesional selama dua tahun.
Berita tersebut dikongsikan pengurusan kelab Australia itu di laman sesawang rasmi mereka. Jurulatih Wanderers, Geoff Abrahams melihat ini sebagai tanda kelab mengiktiraf impak Allyssa dan potensi beliau pada masa hadapan.
“Selepas musim yang cemerlang dalam A-League, Allyssa telah menunjukkan bahawa beliau boleh bersaing di peringkat ini dan terus berkembang dalam persekitaran kami,” kata Abrahams.
“Beliau menyertai program ini, mengambil peluangnya dan memberi impak sebenar (kepada kelab) sepanjang musim.
“Allyssa akan terus berkembang dalam persekitaran akademi senior kami semasa di luar musim, ini merupakan bahagian penting dalam perkembangan (permainan beliau) yang berterusan,” katanya.
Allyssa merasa gembira selepas memeterai kontrak profesional bersama Wanderers. Ini kerana saingan A-League ialah tempat terbaik untuk beliau belajar dan menjadi pemain yang lebih baik.
“Persekitaran A-League merupakan tempat yang bagus untuk saya berkembang, di dalam dan di luar padang, dan belajar daripada pemain berpengalaman dalam skuad.
“Saya fokus untuk terus meningkatkan permainan saya dalam tempoh dua musim akan datang dan menyumbang kepada kejayaan pasukan,” katanya.
Allyssa turut menghargai sokongan keluarga terutama ibunya dalam merealisasikan impian menjadi pemain bola sepak wanita profesional.
“Keluarga saya telah memainkan peranan yang besar dalam menyokong (karier) bola sepak saya, terutama ibu saya dengan segala yang telah dilakukannya untuk membantu saya sampai ke tahap ini.
“Saya juga berterima kasih kepada semua orang di Wanderers dan mereka yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan untuk mencapai tahap ini dalam kerjaya saya,” tambahnya.
Allyssa beraksi sebanyak 17 kali dalam saingan A-League dan menjaringkan dua gol. Impak beliau turut diiktiraf kelab apabila dipilih sebagai Pemain Muda Wanita Terbaik Tahunan Wanderers musim ini.
Allyssa bukan satu-satunya pemain Australia berdarah Malaysia. Sebelum ini, pemain muda wanita Australia, Sakura Leong turut mendedahkan memiliki darah warisan Malaysia.