Skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Bawah 14 Tahun (B-14) tampil cemerlang dalam Festival Bola Sepak Antarabangsa B-14 Gia Lai.
Ini kerana anak buah Rusdi Suparman masih belum tewas dalam tiga perlawanan Kumpulan B.
Selepas berjaya mengikat pasukan Vietnam, Song Lam Nghe An 3-3 dalam perlawanan pertama, AMD B-14 membelasah kelab Laos, Khamsay FC 4-0.
Rentak kemenangan itu diteruskan dengan membelasah wakil Korea Selatan, Gangwon State All Stars 5-0 dalam aksi terbaru kumpulan.
Hijjaz Haqeem Zulkefli membuka tirai jaringan pada minit ke-15. Raja Iman Zahrin Raja Azman mencipta hatrik pada minit ke-32, 36 dan 49.
Nawfal Mikhail Zamri memastikan kemenangan milik AMD B-14 dengan gol kelima pada minit ke-54. Keputusan itu sudah cukup untuk membawa pasukan itu layak ke suku akhir sebagai juara kumpulan.
Anak buah Rusdi bakal bertemu naib juara Kumpulan C yang juga wakil China, CFA Shenzhen Academy .