Lagenda bola sepak Malaysia, Amri Yahyah bakal pulang beraksi di Sabah.
Undian Piala Malaysia 2024 itu menyaksikan tonggak berusia 43 tahun itu masih meneruskan langkahnya dalam kancah bola sepak di Malaysia.
Beliau kini beraksi bersama kelab Liga A1 Semi Pro bersama PT Antlers dan bakal menghangatkan saingan Piala Malaysia kali ini.
Berdasarkan undian yang dijalankan oleh Malaysian Football League (MFL), PT Antlers telah diundi berdepan Sabah pada pusingan 16 terbaik.
Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee kini dalam momentuk terbaik selepas menghuni tangga ketiga Liga Super ketika ini selepas mengharungi 14 perlawanan.
PT Antlers tidak kurang hebatnya apabila berada di tangga ketiga saingan Liga A1 Semi Pro dan hanya dipisahkan dua mata dengan pendahulu, Melaka FC.
PT Antlers akan hadir dengan beberapa watak berpengalaman seperti Indra Putra, Latiff Suhaimi, Fandi Othman, Syazwan Zainon dan juga Amri yang bakal berdepan bekas pasukannya.
Anak jati Selangor itu juga pernah beraksi buat The Rhinos sekitar tahun 2021 hingga 2023 sebelum membawa haluan baharu.
Sabah akan beraksi di laman lawan terlebih dahulu sebelum melayan kunjungan PT Antlers di Likas.