Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva memberikan maksud mendalam daripada kenyataan terbarunya.
Pasukan kendalian Xisco Munoz melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 25-26 dan bakal menentang wakil Borneo, Kuching City FC.
Skuad Harimau Selatan kini dalam misi untuk melengkapkan koleksi kejuaraan domestik sekali gus mengekalkan reputasi selaku jaguh terbilang dalam kalangan kelab di Malaysia.
Bergson, 36, optimis untuk tampil memberikan aksi terbaik di atas padang buat skuad Harimau Selatan terutamanya pada aksi final Piala Malaysia ini.
“Saya tidak tahu bila final seterusnya buat saya. Saya juga tidak tahu adakah saya akan beraksi lagi buat JDT.
Bergson juga seakan berteka-teki mengenai masa depannya selepas lebih 5 tahun menabur bakti bersama JDT.
“Kita tak pernah tahu apa yang akan terjadi esok. Kita perlu melihat kepada apa yang ada hari ini. Peluang untuk menang satu lagi kejuaraan,” katanya pada sesi sidang media pra-perlawanan pada Jumaat.
Beliau juga sedar bahawa JDT memiliki reputasi dan harapan yang besar, sekali gus ingin terus terbang tinggi dalam pentas bola sepak di Asia.
“Barisan kejurulatihan sentiasa memastikan pasukan dapat mencapai tahap tertinggi sebagai satu unit.
“Kami tahu membawa nama JDT itu lebih berat berbanding pasukan lain. Jadi sebagai pemain, kami perlu memastikan setiap tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik,” tambahnya.