Bek tengah Melaka FC, Argzim Redzovic mengakui merasa terkilan kerana masih belum memegang status warganegara Malaysia.
Rasa kecewa pemain berusia 34 tahun itu diluahkan kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini.
Argzim bukan asing dalam saingan Liga Malaysia sejak tiba di negara ini pada 2018. Antara pasukan yang pernah diwakili beliau ialah PDRM FC, Terengganu FC, Terengganu FC II dan terbaru, Melaka.
Meskipun sudah membina keluarga di Malaysia, usaha Argzim mendapatkan status warganegara sejak 2022 masih belum membuahkan hasil.
“Saya mohon (status naturalisasi) sejak 2022. Tapi sampai sekarang, saya masih belum tahu status saya.
“Tapi saya sudah lengkapkan semua (dokumen) dan saya bermain di Malaysia selama sembilan tahun dari 2018 bersama PDRM. Jadi, saya kahwin lapan tahun dengan orang Malaysia. Kedua-dua anak saya orang Malaysia.
“Jadi, saya anggap Malaysia macam rumah kedua saya. Tapi saya terkilan, kahwin ada dua orang anak tapi masih tak dapat (kerakyatan). Saya tak tahu apa masalah,” katanya.
Argzim turut berharap ada pihak yang dapat membantu menyelesaikan isu kerakyatannya. Beliau juga berharap dapat mengikut jejak ramai pemain naturalisasi lain mewakili Harimau Malaya.
Antara nama yang dijangka membarisi skuad kebangsaan kali ini ialah Bergson da Silva dan Giancarlo Gallifuoco.