Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva memilih pendekatan tunggu dan lihat apabila ditanya tentang peluangnya membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya.
Selepas menyertai JDT pada 2021, reputasi penyerang berusia 35 tahun itu cukup disegani. Ini termasuk status Bergson sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.
Selepas beliau melepasi syarat naturalisasi, khidmatnya turut menarik perhatian jurulatih negara, Peter Cklamovski.
Bergson mengakui beliau sudah bersedia untuk membawa nama Malaysia sekiranya khidmatnya diperlukan jurulatih Australia itu.
“Saya fikir ia cuma sebahagian daripada keinginan saya kerana sehingga kini, belum ada sesiapa berbincang dengan saya. Jadi, saya agak ragu.
“Tetapi saya bersedia dan seperti yang saya katakan, saya belajar mencintai negara ini dan merasakan di sini ialah rumah saya.
“Ia satu kegembiraan buat saya jika saya dapat peluang itu. Terima kasih atas segala sokongan yang saya diberikan. Saya sedia untuk membantu pasukan (Harimau Malaya),” katanya.
Bergson antara pemain import Liga Super yang berpotensi menyarung jersi pasukan itu di pentas antarabangsa.
Selain beliau, rakan sepasukan, Manuel Hidalgo dan bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco juga semakin hampir menyarung jersi skuad kebangsaan.
Bergson terus membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan 19 gol dalam Liga Super. Beliau mengetuai pemburuan Kasut Emas Liga Super sambil diekori rapat Chrigor Moraes dengan 17 gol.