Advertisement
Arif Aiman & 4 Bintang Sensasi Serikan Pertembungan Shandong Taishan vs JDT
ACL
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pertemuan epik dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) melibatkan Shandong Taishan vs Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diserikan dengan aksi hebat Arif Aiman dan 4 lagi pemain.

Setelah tumpas di final Chinese FA Cup, Shandong Taishan berdepan satu lagi tugas getir apabila bakal turun melayani kunjungan JDT di laman sendiri dalam aksi kelima ACLE.

Manakala JDT pula miliki senario berbeza apabila mencatat kemenangan dalam kesemua lima aksi terakhir termasuklah mengatasi KL Rovers dalam saingan Piala Malaysia minggu lalu.

Aksi di Pusat Sukan Olimpik Jinan ini bakal dihangatkan lagi dengan kehadiran lima bintang tumpuan daripada Shandong Taishan dan juga JDT.

1- Arif Aiman (JDT)

Nama Arif Aiman kerap kali termasuk dalam bintang tumpuan memandangkan kemampuan luar biasa yang dimiliki tonggak berusia 22 tahun ini dalam menggerakkan serangan JDT ke arah pintu gol lawan.

Empat gol setakat ini termasuklah satu ketika menumpaskan juara K-League, Ulsan Hyundai dalam aksi terakhir menjadi bukti kelibat Arif bakal dirantai sebaik mungkin oleh benteng pertahanan Shandong Taishan.

2- Iker Undabarrena (JDT)

Persembahan ‘tak kenal erti penat’ oleh Iker Undabarrena di 4 aksi awal ACLE sebelum ini meraih perhatian peminat JDT dengan pemain Sepanyol ini mencatat 360 minit permainan secara keseluruhan.

Khidmat Iker sekali lagi bakal ditagih Hector Bidoglio untuk mengemudi jentera tengah Harimau Selatan bersama Natxo Insa dalam usaha mengekang asakan Shandong Taishan ke arah kubu JDT.

3- Bergson (JDT)

Walaupun sering dibayangi Jorge Obregon, kelibat Bergson bersama JDT masih menjadi antara kegemaran peminat JDT tatkala penyerang itu hanya merekodkan 96 minit permainan di ACLE setakat ini.

Satu jaringan ketika menentang Ulsan Hyundai sebelum ini membuktikan kredibiliti serta ketajaman penyudah Bergson masih tidak tumpul dan bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.

4- Cryzan (Shandong Taishan)

Nama Cryzan kerap kali meniti dari bibir peminat Shandong Taishan dengan pemain kelahiran Brazil itu telah mencetak 64 gol dan 21 bantuan jaringan dalam 98 penampilan sejak tiba pada 2022.

Di pentas ACLE musim ini, Cryzan sudah menyumbat dua gol ketika tumpas di tangan Vissel Kobe dan mengikat Yokohama F. Marinos sebelum diletakkan di bangku simpanan pada aksi terakhir.

5- Valeri Qazaishvili (Shandong Taishan)

Tugas berat menanti pertahanan JDT khusus di bahagian kanan apabila Qazaishvili dijangka menjadi taruhan utama Shandong Taishan bagi melancarkan serangan di sebelah kiri.

Bisa pemain kebangsaan Georgia ini menyaksikan 2 jaringan sudah berjaya dihasilkan dalam empat perlawanan terdahulu untuk muncul penjaring terbanyak pasukan bersama Cryzan.

Pertemuan Shandong Taishan dan JDT bakal berlangsung pada Selasa, 26 November di Pusat Sukan Olimpik Jinan dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8 malam waktu tempatan.