ASEAN Hyundai Cup: Padang Bukan Halangan Buat Vietnam
MakanBola
Vietnam FF

Jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik mengakui pasukannya perlu beradaptasi dengan keadaan padang Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum dapat menewaskan Malaysia.

Sebelum perlawanan, kem Vietnam mengakui resah dengan keadaan padang stadium itu. Ini kerana Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menggunakan rumput Cowgrass.

Hal ini berbeza dengan Stadium Nasional My Dinh yang menggunakan rumput Zeon Zoysia. Keadaan padang yang berbeza dan basah akibat hujan beberapa jam sebelumnya sedikit sebanyak mengganggu rentak Vietnam.

Sang-sik mengakui disebabkan dua faktor itu, Pahlawan Bintang Emas perlu bekerja keras untuk meraih kemenangan 2-0 ke atas Harimau Malaya.

“Kita menang 2-0 tetapi kita berdepan kesukaran beradaptasi dengan keadaan padang,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

“Keadaan rumput dan semua perkara bukan sesuatu yang mudah. Ianya sukar dan ini memberi kesukaran kepada taktik kita semasa perlawanan juga.”

Perkara sama turut diakui penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son. Pada masa sama, penyerang berdarah Brazil itu gembira dapat membantu Pahlawan Bintang Emas meraih bekalan dua gol untuk aksi timbal balik di Hanoi.

“Ianya sukar pada awalnya dan saya kena beradaptasi (dengan keadaan padang). Perkara paling penting ialah keputusan. Kita menang dan saya sangat gembira,” katanya.

Vietnam kini memiliki kelebihan dua gol untuk aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh pada 19 Ogos ini.