Padang Stadium KL Buat Vietnam Resah
MakanBola
FA Malaysia

Padang Stadium KL (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur), Cheras dilihat mencetuskan keresahan dalam kem Vietnam menjelang aksi separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup menentang Malaysia.

Keresahan itu timbul kerana stadium itu menggunakan rumput jenis Cowgrass. Hal ini berbeza dengan Stadium Nasional My Dinh yang menggunakan rumput Zeon Zoysia.

Kem Vietnam sedar keadaan padang yang berbeza boleh memberi kesan terhadap corak permainan dan pergerakan bola. Perkara ini turut diakui jurulatih Pahlawan Bintang Emas, Kim Sang-sik.

Jurulatih Korea Selatan itu melihat Vietnam harus beradaptasi dengan keadaan padang berbeza jika mahu meraih keputusan positif dalam aksi separuh akhir pertama.

“Ini separuh akhir, jadi perlawanan ini tidak akan mudah,” katanya seperti dilaporkan portal Vietnam, TheThao247.

“Ini juga perlawanan di tempat lawan, jadi kami perlu cuba sedaya upaya bermain dengan baik dan pemain perlu membiasakan diri dengan jenis padang baharu.”

Penyerang berbisa Vietnam, Nguyen Xuan Son pula memberi komen ini apabila ditanya tentang keadaan padang, “Sejujurnya, saya tak suka rumput ini.”

Wartawan Astro Arena, Kamal Nizam melihat perkara ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Harimau Malaya untuk meraih keputusan positif di hadapan penyokong sendiri.

“Namun itu juga merupakan satu kunci yang mungkin pasukan negara boleh gunakan apabila menentang Vietnam di laman sendiri. Ini kerana kita tahu kondisi padang ataupun rumput yang berlainan akan menentukan perubahan permainan yang berlainan juga. 

“Bola yang lebih berat, kita tidak tahu tetapi kita sudah biasa bermain di sini. Mungkin itu menjadi kelebihan yang ketara untuk Malaysia. Diharapkan agar skuad negara dapat menggunakan kelebihan tersebut,” katanya kepada Nadi Arena.

Malaysia akan berdepan Vietnam di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Ahad. Kedua-dua pasukan membawa misi memburu bekalan selesa untuk aksi timbal balik di Hanoi pada 19 Ogos.