Thailand memperkukuhkan kedudukan di persada Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup apabila berjaya mencatatkan keputusan menang 0-1 ketika bertemu Filipina.
Filipina memburu kemenangan ke atas pelawat di halaman sendiri bagi mencerahkan peluang layak ke separuh akhir. Thailand pula mahu meraih kemenangan agar dapat menerajui di persada Kumpulan B.
Aksi separuh masa pertama disajikan dengan lambakan peluang keemasan dari pasukan tuan rumah menerusi Cole Mrowka namun percubaan berbahaya tersebut berjaya ditepis oleh penjaga gol Thailand, Kampon Phatomakkakul pada minit ke-9.
Selepas itu, Daisuke Sato turut melepaskan percubaan menerusi rembatan kencang kaki kiri namun sekali lagi berjaya diselamatkan.
Thailand turut melakukan serangan menerusi Waris Choolthong pada minit ke-24. Rembatan beliau berjaya ditepis oleh pertahanan tuan rumah sekali gus memastikan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan bagi mencari gol pembukaan aksi.
Wanchai Jarunongkran melakukan rembatan dari dalam kotak penalti namun percubaan beliau sedikit tinggi dari gawang Filipina yang dikawal rapi oleh penjaga gol kelab, Kaya-Iloilo.
Thossawat Limwanasathian hampir memberikan kegembiraan kepada kem pasukan Thailand tetapi percubaan beliau pada minit ke-78 gagal menemui jaring.
Akhirnya, jaringan yang ditunggu tiba pada penghujung separuh masa kedua menerusi Waris Choolthong yang menanduk masuk hantaran bekas pemain Selangor, Pitcha Autra sekali gus memastikan kemenangan mutlak kepada Changsuek.
Perlawanan di Filipina tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Changsuek. The Azkals bakal meneruskan aksi terakhir peringkat Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026 dengan menentang Malaysia bagi merebut tempat ke separuh akhir dan Thailand akan bertemu Myanmar pada 8 Ogos ini.