Aksi Malaysia-Korea Selatan yang dinantikan ramai dalam Kumpulan B Sukan Asia 2023 berakhir dengan kemenangan 4-3 buat Korea Selatan.
Korea Selatan turun dengan misi membalas dendam selepas dua kali diaibkan skuad negara dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia 2023 pada Ogos lalu.
Begitupun, pasukan itu bermula dengan sumbang apabila Razie Rahim menyumbat gol pertama The Speedy Tigers pada minit kelima.
Korea Selatan kemudiannya dianugerahkan penalti stroke pada minit ke-11. Penalti berkenaan mudah disempurnakan penjaring terbanyak mereka dalam Sukan Asia, Jang Jong-hyun.
Tatkala ramai menyangka babak pertama bakal berakhir dengan keputusan seri, Faizal Saari memastikan skuad hoki negara kembali mendahului menerusi pukulan penalti pada minit ke-30.
Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan bangkit dan menyamakan kedudukan buat kali kedua menerusi Lee Nam-yong pada minit ke-32.
Bagaimanapun, pasukan dari Asia Timur itu ditimpa malang apabila Nam-yong dan Son Da-in masing-masing dilayangkan kad kuning pada minit ke-37 dan ke-44. Ini mengakibatkan Korea Selatan terpaksa bermain dengan sembilan pemain untuk tempoh 10 minit.
Kekasaran yang dilakukan Da-in membawa kepada penalti stroke buat skuad negara. Dan Razie tenang menewaskan Kim Jae-hyeon untuk meletakkan The Speedy Tigers mendahului 3-2.
Begitupun, keceriaan skuad negara tidak bertahan lama apabila Jong-hyun menyempurnakan penalti bagi menyamakan kedudukan 3-3.
Korea Selatan akhirnya meraih kemenangan menerusi penalti stroke Yang Ji-hun pada minit ke-55. Ini membolehkan mereka merapatkan jurang dengan The Speedy Tigers dan China yang mengumpul sembilan mata.
Walaupun tewas, Malaysia masih lagi memimpin Kumpulan B dari segi kelebihan jaringan. Begitupun, kedudukan ini boleh berubah sekiranya China menewaskan Thailand dalam satu lagi aksi kumpulan hari ini.