Advertisement
Asian Games: Thailand ‘Rantai’ Bahrain
Asia
MakanBola
Changsuek

Skuad B-24 Thailand bangkit dari ketinggalan sebelum mengikat Bahrain 1-1 dalam aksi pertama Kumpulan E Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.

Selepas meraih tempat ketiga Piala AFF B-23 2023 dan layak ke Piala Asia B-23 2024, momentum ini mahu diteruskan oleh jurulatih Thailand, Issara Sritaro dalam Sukan Asia di Hangzhou.

Dan sebaik babak pertama bermula, Bahrain berdepan kesukaran menembusi pertahanan Gajah Perang diketuai bek tengah Sukhotai, Maximillian Steinbauer.

Al-Ahmar terpaksa menunggu sehingga minit ke-41 untuk membuka tirai jaringan menerusi Husain Abdul Karim Mubarak Abdulaziz. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Sritaro membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat meraih gol penyamaan. Bagaimanapun, gol penyamaan yang dicari tidak kunjung tiba.

Tatkala Bahrain menyangka kemenangan sudah berada dalam genggaman, Purachet Thodsanit menceriakan kem Thailand dengan gol jarak jauh pada minit ke-95. Gol tersebut memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Keputusan ini meletakkan Al-Ahmar dan Gajah Perang meraih satu mata dalam Kumpulan E. Kedudukan ini dijangka berubah sekiranya Kuwait atau Korea Selatan mencipta kemenangan dalam satu lagi aksi kumpulan malam ini.