Atlet pingpong Korea Utara berdepan hukuman akibat tersenyum bersama lawan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pasangan beregu campuran sukan pingpong Korea Utara boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana tersenyum di atas podium ketika berswafoto di temasya Sukan Olimpik Paris lalu.
Kim Kum-yong dan Ri Jong-sik menghadiahkan pingat perak buat kontinjen Korea Utara setelah tewas 2-4 di tangan pasangan China di aksi final beregu campuran pingpong.
Menurut Telegraph, Kim Kum-yong dilaporkan sedang dalam pengawasan kerana didapati tersenyum di dalam gambar kemenangan bersebelahan atlet Korea Selatan.
Rakan sepasukannya, Ri Jong-sik pula mungkin berdepan hukuman kerana tersenyum dengan pemenang dari China dan pemenang pingat gangsa dari Korea Selatan selepas turun dari podium.
Sejak tiba di tanah air pada 15 Ogos, kontinjen Korea Utara telah menjalankan proses ‘pembersihan’ ke atas para atlet daripada pendedahan kepada pencemaran selama satu bulan, lapor Daily NK.
‘Pembersihan’ yang dilaporkan adalah proses penilaian ideologi 3 peringkat oleh kementerian sukan Korea Utara yang disasarkan untuk menyingkirkan sebarang pengaruh budaya ‘bukan sosialis’ dalam kalangan atlet.
Sebelum ini, Atlet Korea Utara dilaporkan telah diberi arahan khas untuk tidak berinteraksi dengan warga Korea Selatan atau atlet negara lain di Sukan Olimpik, atau menghadapi akibatnya.
Sekiranya terdapat atlet yang melanggar arahan daripada Parti Pusat, mereka berkemungkinan besar dikenakan tindakan walaupun hukuman tersebut tidak dinyatakan secara jelas.